Recent twitter entries...

  •  
Let's read Al-Quran

7 Tabiat Orang yang Paling Efisyen

Posted by shah | Posted in Education, Personal, Santai | Posted on 29-06-2010

0

Pada tahun 2007, saya telah mengikuti satu kursus yang sangat berguna dan memberi impak yang besar dalam kehidupan saya. Kursus tersebut ialah The Seven Habits of Highly Effective People di Hotel Istana, Petaling Jaya. Cara saya berfikir, melihat dan bertindak telah berubah dan menampakkan hasil yang sangat hebat. Anjakan Paradigma yang diwar-warkan dalam banyak seminar tidak akan dapat dilakukan dengan berkesan tanpa konsep yang diterangkan dalam kursus ini.
Berikut adalah 7 tabiat orang yang paling efisyen:
1.Pro-aktif
Maksudnya mengambil tanggungjawab terhadap sesuatu perkara dan bukannya menuding jadi kepada orang lain atau persekitaran yang menimbulkan halangan dan masalah. Setiap tindakan yang kita lakukan adalah daripada pilihan kita sendiri. Maka, anda bertanggungjawab atas apa yang anda pilih. Contohnya, anda boleh memilih untuk berfikir positif atau negatif. Sembahyang adalah WAJIB. Anda boleh memilih untuk melaksanakannya ataupun tidak tetapi anda bertanggungjawab dengan pilihan yang anda buat.
2.Mula dengan wawasan di dalam minda
Bina wawasan berdasarkan prinsip “utara-benar”. Cipta satu pernyataan misi hidup anda dan bayangkan kesudahan misi anda itu. Minda anda perlu membayangkan kejayaan pencapaian misi tadi untuk merangsang diri anda melakukan langkah-langkah yang sesuai ke arahnya. Semua ciptaan fizikal oleh manusia adalah ciptaan kedua, ciptaan pertama adalah di dalam minda manusia sendiri. Begitu juga dengan kehidupan, jika anda dapat membayangkan kehidupan anda 10-50 tahun lagi, maka anda telah melakar ‘bangunan’ atau ‘rekaan’ kehidupan anda sendiri pada masa hadapan.

3.Utamakan yang paling utama
Dalam usaha mencapai sasaran jangka panjang, keluarkan kerja-kerja yang bersifat segera tetapi tidak penting untuk mencapai sasaran anda. Bahagikan tugas dan rancangan dengan sebaiknya agar anda tidak perlu memperincikan semua perkara. Pecahkan kepada empat bahagian penting:
1- Segera dan Penting (e.g; bayar kad kredit sebelum due date)
2- Tidak Segera tetapi Penting (e.g; servis kereta apabila telah mencecah KM yang sepatutnya)
3- Segera tetapi Tidak Penting (e.g; perlawanan akhir World Cup 2010 antara Argentina vs Portugal)
4- Tidak Segera dan Tidak Penting (eg; komen status rakan-rakan dalam facebook)

4. Fikirkan Menang-Menang
Apabila menghadapi kebuntuan terutamanya apabila bertembungan kepentingan dengan orang lain, fikirkan penyelesaian yang memberi manfaat kepada setiap pihak. Dengan itu, keberhasilan penyelesaian itu akan mudah dicapai. Tabiat yang biasa kita lihat adalah Menang-Kalah. Suasana ini sentiasa berlaku di sekeliling kita contohnya dalam perlawanan akhir Piala Dunia 2010; Argentina mesti mengalah Portugal. Jika seri, sepakan penalti pasti akan diberikan oleh pengadil bagi memastikan ada yang menang, dan ada yang kalah.

5. Fahami dahulu sebelum untuk difahami
Sebelum anda meminta orang lain mendengar permintaan atau nasihat anda, dengar terlebih dahulu perihal latarbelakang mereka. Apabila latarbelakang mereka diketahui anda, anda dapat memikirkan satu penyelesaian yang memudahkan mereka menerimanya. Apakah yang anda akan lakukan jika anak anda berkata, “Daddy (or Mummy), I don’t want to go to the school.” Adakah ini reaksi anda;
1- Kenapa sayang?
2- Kepala hotak awak?
3- Engkau ni buang tebiat ke apa?
4- Lantak engkaulah, yang penting kamu bahagia.
5- Ok, kita pergi tengok wayang.
6- Selain di atas….(nyatakan)

6. Sepadukan usaha
Amalkan kerja dalam kumpulan. Jika hal ini menjadi tabiat, pencapaian anda akan menjadi berganda kerana faktor kekuatan kumpulan mengatasi kekuatan individu. Hasil daripada 1-3 tabiat pertama tadi (individu) dan tabiat 4-6 (kumpulan), maka kita akan dapat mencapai sesuatu yang sangat hebat terutama dalam keluarga, syarikat ataupun apa-apa sahaja tindakan yang kita lakukan.

7. Tajamkan pedang
Dari masa ke semasa, amalkan peningkatan diri supaya kadar produktiviti dapat ditingkatkan selaras dengan perubahan masa. Tabiat di atas akan menjadi tabiat selama mana ia menjadi amalan kita sehari-hari.
Akhir kata, tabiat adalah sesuatu yang kita lakukan dalam keadaan separa sedara. Jika anda memandu kereta manual, anda tidak perlu lagi berfikir secara 100% untuk menukar gear, menekan brek dan sebagainya kerana ia telah menjadi tabiat pemanduan anda. Ia juga adalah sama dengan tabiat orang yang paling efisyen di atas. Jadikan ia sesuatu yang ‘automatik’ di dalam perlakuan anda sehari-hari. Untuk menjadi automatik, anda perlu melakukannya dalam keadaan sedar terlebih dahulu. InsyaAllah, lama kelamaan, ia menjadi sebahagian daripada diri anda.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
PrintFriendlyLinkedInShare

Facebook comments:

Write a comment

*